Malaysia bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Syria 2-2 pada Perlawanan Persahabatan Tier 1 yang berlangsung di  Stadium East-Town Football Park Chengdu, China sebentar tadi.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu terlebih dahulu menguji gawang Syria selepas Paulo Josue menerima hantaran lintang Faisal Halim seawal minit keempat.

Bagaimanapun, dadaan dilakukan pemain berusia 34 tahun itu kurang cermat lalu mudah buat penjaga gol lawan, Ahmad Madanieh menyelamatkan keadaan.

Jaringan pembukaan Syria hadir pada minit ke-12 selepas percubaan Mardek Mrdkian dari luar kawasan penalti susulan kesilapan pertahanan yang gagal mengeluarkan bola dengan pantas berjaya membolosi gawang skuad negara.

Tersentak dengan gol tersebut, para pemain negara memperkemaskan aksi untuk mencipta beberapa peluang untuk mencipta jaringan penyamaan.

Namun, deretan percubaan yang dimiliki La’Vere Corbin-Ong, Faisal Halim dan Endrick Dos Santos mudah dinafikan oleh Ahmad Madanieh.

Syria menggandakan jaringan ketika aksi memasuki minit ke-41 menerusi tandukan Yasin Alsamya hasil situasi sepakan penjuru untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Anak buah Hector Cuper hampir menambah jaringan ketiga pada minit ke-47, namun sepakan percuma Mahmoud Al Mawas yang terus ke gawang skuad negara ditepis keluar Ahmad Syihan Hazmi.

Aksi selepas itu jelas memperlihatkan penguasaan besar ditampilkan skuad Malaysia sehingga membuatkan Syria bergelut untuk mendapatkan rentak sebenar.

Ia jelas dibuktikan apabila pemain gantian, Akhyar Rashid melakukan larian di belakang pertahanan untuk menerima hantaran jauh Endrick dan kemudiannya berjaya menewaskan Taha Mousa yang masuk pada awal babak kedua.

Jaringan pada minit ke-51 itu nyata meningkatkan lagi moral para pemain negara untuk terus mengasak ke kubu Syria.

Usaha keras pemain negara membuahkan hasil pada minit ke-85 selepas percubaan awal Safawi Rasid yang gagal ditangkap kemas Toha membolehkan Darren Lok menolak masuk bola untuk menyamakan kedudukan.

Kejayaan bangkit daripada ketinggalan dua gol berdepan dengan lawan yang berada di ranking ke-94 dunia itu mampu meningkatkan moral pemain negara menjelang pertemuan dengan China, Sabtu ini.